Monday, June 10, 2019


Amalkanlah :
1. Bacaan Al - Fatihah setiap kali selepas solat . (Diamalkan selalu sehingga akhir hayat amat digalakkan.)
2. Membaca "Bismillahillazi layadurru ma'asmihi syai'un fil ardi wala fissama' wahuwassami'un 'alim " 7 kali pagi dan petang.

SUMBER : https://arnamee.blogspot.com/2013/01/histeria-makhlukhalus.html

Sunday, June 9, 2019

Bagaimana merawat gangguan jin

gangguan jin

Apakah yang dimaksudkan dengan gangguan jin?
Gangguan jin adalah satu keadaan di mana jin telah berjaya masuk ke dalam tubuh badan seorang manusia dengan tujuan untuk memberikan mudharat kepada manusia tersebut.
Ada beberapa sebab jin masuk ke dalam badan manusia dan mengganggu mereka. Dan ianya bolehlah dibahagikan kepada dua pecahan di bawah:
1. Faktor jin
  • jin telah jatuh cinta kepada manusia
  • jin mahu bersahabat dengan manusia kerana status manusia itu (memiliki ilmu batin atau saka)
  • dengki dengan manusia yang taat kepada agama.
  • berdendam kerana ada ahli keluarga jin dibunuh oleh manusia secara sengaja atau tidak sengaja. Contoh mudah adalah membunuh ular yang sebenarnya jelmaan jin.
2. Faktor manusia
  • menuangkan air panas ke dalam mangkuk tandas atau lubang yang didiami oleh jin.
  • mencampakkan benda berat tanpa membaca bismillah.
  • bersama dengan isteri tanpa menyebut nama Allah.
  • perempuan yang mendedahkan aurat dan suka berhias menyebabkan jin terpikat dan jatuh cinta.
  • tidak beradab semasa berada di dalam hutan dan tempat-tempat sunyi.
  • tukang sihir atau bomoh
  • dengki dan khianat dengan orang lain – punca utama seseorang melakukan sihir ke atas orang lain.
  • Tidak mengawal emosi seperti sentiasa marah-marah, terlalu takut, nafsu syahwat yang tinggi, lalai dan berniat jahat.
  • pengamal sihir atau amalan-amalan persilatan yang menggunakan perantara jin.
  • anak cucu yang menerima saka.
Sekarang anda sudah pun mengetahui apakah punca yang menyebabkan gangguan jin ke atas manusia. Sekarang timbul pula persoalan bagaimana untuk mengelakkan dari gangguan jin.
Di sini saya kongsikan dengan anda beberapa cara yang boleh anda lakukan sebagai usaha untuk mengelakkan gangguan jin.
1) Membaca Bismillah Sebelum Masuk Rumah Dan Sebelum Makan
 Jabir Radhiallallahu Anhu berkata: Saya telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila seorang masuk ke dalam rumahnya dengan menyebut ‘Bismillah’ ketika masuk (ke dalam rumah) dan ketika makan, maka syaitan berkata kepada temannya: Tiada tempat tinggal dan tiada bahagian makanan bagi kamu di sini.“ Dan bila masuk tiada menyebut nama Allah, syaitan berkata: “Kamu dapat bermalam di rumah ini, kemudian jika waktu makan tidak menyebut nama Allah, syaitan berkata: Kamu dapat bermalam dan makan di sini”.(Hadis riwayat Muslim)
2) Membaca Bismillah Sebelum Menutup Pintu Rumah dan Menutup Bekas MinumanRumah yang dibaca Bismillah sebelum ditutup pintu tidak dimasuki syaitan, dan terhindar dari gangguan jin (walaupun syaitan boleh masuk melalui lubang, ia tidak akan masuk). Begitu juga minuman yang ditutup dan dibaca Bismillah.
Kuncilah pintu dan sebut nama Allah, kerana syaitan tidak dapat membuka pintu yang berkunci. Tutup tempayanmu dengan menyebut nama Allah.(Hadis Riwayat Muslim)
3) Membaca Ayat Kursi Sebelum Tidur
Dalam kisah Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu dengan syaitan yang mencuri harta zakat, disebutkan bahawa syaitan tersebut berkata,“Biarkan aku mengajarimu beberapa kalimah yang Allah memberimu manfaat dengannya. Bila engkau masuk ke tempat tidur, bacalah ayat kursi. Dengan demikian, akan selalu ada penjaga daripada Allah untukmu, dan syaitan tidak akan mendekatimu sampai pagi.” Ketika Abu Hurairah menceritakannya kepada Rasulullah shallallahu ‘alahi wa sallam, beliau berkata, “Sungguh dia telah berkata benar, walaupun dia sebenarnya banyak berdusta.” (HR. al-Bukhari no. 2187)
4) Membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas selepas solat untuk menolak sihir.
Daripada ‘Uqbah bin Amir,dia berkata: “Rasulullah s.a.w. telah memerintahkanku supaya aku membaca ‘Al-Muawidzat’ (1.Qulhuwallahu Ahad. 2. Qul a’udzu bi rabbil falaq 3. Qul a’udzu bi rabbinnaas.) di belakang setiap solat(fardu/wajib).”
Teknik Merawat Gangguan Jin Dengan Kasturi
Tahukah anda bahawa jin-jin yang mengganggu manusia ini terdiri dari golongan jin-jin yang jahat (kafir,munafik,fasik)?
Dan satu kelemahan jin-jin ini ialah mereka sangat alah dan membenci bau yang wangi. Sebab itulah apabila kita masuk ke dalam tandas, Nabi mengajar kita agar membaca doa perlindungan di bawah:
Apabila Nabi SAW ingin memasuki tandas. Baginda bersabda: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan lelaki dan syaitan wanita”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 139]
Bau dan tempat yang kotor dan busuk sangat sesuai dengan fitrah dan naluri jin. Oleh kerana itulah salah satu teknik merawatgangguan jin yang sangat berkesan dan praktikal, terutamanya untuk gangguan sihir, saka dan jin asyiq ialah dengan mengamalkan memakai wangian kasturi.
Sumber: https://rahsiakasturi.com/bagaimana-merawat-gangguan-jin/

Thursday, June 6, 2019

Kaedah Saintifik mengesan makhluk halus

Assalamulaikum buat pembaca yang membaca blog ini,
post pada kali ini akan berkongsi mengenai kaedah saintifik untyk mengesan makhluk halus... boleh atau tidak mengesan makhluk halus menggunakan kaedah saintifik. Baiklah hari ini group ruqyah kami akan berkongsi mengenai perkara ini. Perkara ini berdasarkan pembacaan ahli group dalam satu keratan akhbar yang dipaparkan pada tahun 2018 yang lalu. Berikut merupakan keratan akhbar yang dibaca :

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sedang melaksanakan kajian saintifik bagi mengesan makhluk halus atau jin di dalam badan manusia menggunakan peralatan elektronik yang dikatakan mampu mengesan aura itu.
Kajian bagi mengesan jin terutama saka dilaksanakan tujuh pengkaji daripada UMK, diketuai Prof Madya Dr Yohan Kur Niawan sejak dua tahun lalu.
Yohan yang berasal daripada Indonesia, berkata kajian itu dibuat menggunakan sebuah peralatan elektronik bagi mengesan aura dalam badan manusia yang dibeli di Amerika Syarikat berharga kira-kira RM15,000.
Beliau berkata, seramai 10 responden yang diakui mempunyai saka diuji menggunakan peralatan elektronik terbabit bagi mengesan perubahan elektrik dalam badan sebaik mereka menerima rawatan Islam seperti diperdengarkan bacaan surah al-Fatihah, Ruqyah serta muzik tradisional.
"Alat ini adalah satu kaedah secara saintifik bagi membuktikan kewujudan jin dalam badan manusia melalui perubahan elektrik memandangkan makhluk itu dicipta daripada api berdasarkan al-Quran.
"Badan manusia mempunyai tujuh aura bermula daripada kepala hingga kaki. Setiap aura itu mempunyai tenaga elektrik berbeza yang dikesan melalui peralatan terbabit.
"Berdasarkan kajian, terdapat tiga aura yang sering dipengaruhi kehadiran jin iaitu di kepala, leher dan dada. Jika satu daripada tiga aura ini mejadi merah berdasarkan perisian yang disambungkan daripada peralatan elektronik kepada komputer, kemungkinan wujudnya jin ini," katanya ketika ditemui di sini.
Katanya, aura berwarna merah tidak semestinya membuktikan kewujudan jin memandangkan tenaga elektrik dalam badan sentiasa berubah jika seseorang itu dalam keadaan tekanan, letih, marah atau sedih.
"Pada mulanya, responden akan dibiarkan tenang beberapa minit sebelum tangannya diletak pada peralatan terbabit bagi mengesan arus elektrik dalam badan.
"Ujian ini akan dilakukan beberapa kali dan jika aura merah konsisten keluar setiap kali responden didengarkan bacaan al-Fatihah, Ruqyah atau muzik tradisional, kemungkinan besar jin ini wujud pada pesakit terbabit," katanya yang menjalankan kajian itu dibawah Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) Kementerian Pendidikan.
Bagaimanapun, Yohan berkata, kajian itu masih di peringkat awal dan ketepatannya antara 80 hingga 90 peratus.
Oleh itu, katanya, kajian terbabit masih memerlukan kira-kira dua tahun lagi untuk disiapkan bagi mengumpul data mengenai penafasan, gelombang elektromegnetik serta denyutan nadi terhadap responden yang terbabit.
"Kajian ini diharap menjadi penyumbang kepada perubatan alternatif terhadap pesakit yang mempunyai gangguan serta penyakit misteri. Ini kerana, ada orang dakwa sakit itu daripada jin, tapi sebenarnya tidak, malah ada juga sakit yang menyebabkan pelakuan pelik tiada kaitan dengan jin.
"Justeru, kita mahu membantu dari segi ketepatan maklumat sebelum rawatan dijalankan bagi menghidari kes kekhilafan dalam merawat.
"Tambahan pula, kajian seperti ini masih kurang dijalankan, malah pengkaji dari Barat menyatakan jin tidak wujud dan semuanya berlaku disebabkan `ilusi low frequency' yang mempengaruhi otak," katanya yang mahu membuktikan kewujudan fenomena gangguan makhluk halus.

Sumber: Berita harian online, Isnin, 23 Julai 2018 | 12:37pm

Punca gangguan jin dan tanda-tandanya

Gangguan jin terhadap manusia adalah suatu hakikat yang tidak dapat kita nafikan. Allah SWT menjadikan makhluk jin berkemampuan berubah dari satu bentuk kepada satu bentuk yang lain dengan cepat kerana jasadnya yang halus.

Kerana itu, jin berupaya menyakiti dengan memasuki badan manusia melalui cara halus. Jin-jin ini Allah jadikan dalam pelbagai bentuk, ada yang besar, tinggi, rendah, kecil dan sebagainya.

Allah memberikan keupayaan kepada mereka untuk mengecilkan jasad mereka dan memasuki tubuh badan manusia.

Dalam sebuah hadis sahih daripada Safiyah r.a. dijelaskan bahawa Rasuallah SAW ada bersabda: "Sesungguhnya iblis dan syaitan itu berlari dalam tubuh anak Adam menuruti pembuluh (saluran) darah." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Apabila jin-jin ini memasuki badan manusia, ia selalunya berada di dalam otak dan di tulang belakang (spinal cord) berdekatan dengan urat saraf kita.

Melalui otak dan urat saraf, jin ini akan dapat mempengaruhi pemikiran dan emosi pesakit itu. Sebab itu kalau seseorang itu menghidap sakit ganguan sihir atau ganguan jin, fikiran dan emosi mereka terganggu.

Bila fikiran mereka terganggu, ia akan mengakibatkan seseorang itu mendapat sakit tekanan jiwa atau "depression".

Selain itu, gangguan kepada urat saraf ini juga mengakibatkan rasa sakit kepada bahagian pinggang, otot, tengkuk, bahu, sendi-sendi, rahim, perut dan kadang kala mengganggu sistem pernafasan seseorang itu.

Berapa banyak jin berada di dalam badan pesakit terpulang kepada komplikasi dan jenis-jenis sihir yang ditujukan kepada pesakit.

Ada pesakit yang mempunyai lebih dari 80 jin dalam badan. Lebih banyak jin di dalam badan pesakit, maka lebih banyak komplikasi atau rasa sakit yang dirasai oleh pesakit itu.

Kebanyakan pesakit yang sakit akibat gangguan sihir mempunyai 5 hingga 20 jin dalam badan mereka.

Makin lama jin itu berada di dalam badan pesakit, mereka boleh beranak pinak dan jumlah dan bilangan akan bertambah.

Jenis-jenis atau Punca Penyakit

Terdapat 6 jenis punca gangguan jin yang dikenal pasti oleh penulis.

1. Gangguan jin akibat perbuatan sihir

Di sini makhluk jin memasuki badan manusia bertujuan untuk menyakitkan tubuh fizikal dan gangguan emosi dan mental seseorang.

Ilmu-ilmu sihir dan ilmu santau banyak menggunakan jin sebagai medium perantaraan diantara tukang-tukang sihir dan mangsa yang kena sihir.

Disini tukang sihir akan mengarahkan atau menyuruh jin-jin yang dibawah kuasa mereka untuk membawa benda-benda sihir atau racun-racun santau ke dalam badan pesakit bertujuan untuk menyakitkan seseorang itu.

2. Lemah Semangat

Gangguan jin keatas tubuh seseorang akibat kelemahan iman atau lemah ketahanan diri atau lemah semangat seseorang itu.

Roh yang sakit atau lemah akibat iman yang lemah kerana ingkar mengikut perintah Allah, atau banyak melakukan dosa dan maksiat, meninggalkan sembahyang, minum arak atau melakukan penzinaan, ini menyebabkan sesaorang itu senang untuk di dampingi oleh makhluk-makhluk halus.

Usia yang lanjut bukan faktor utama membolehkan makhluk-makhluk jin tersebut menyerang manusia kerana ketahanan diri yang sebenarnya terletak kepada kekuatan iman yang membentuk kekuatan roh.

Kekuatan inilah yang menjadi benteng utama bagi pertahanan diri kepada gangguan jin-jin dalam kehidupan seharian atau ketika sakaratul maut.

3. Belajar Tanpa Guru

Gangguan jin akibat amalan seseorang itu memuja jin-jin dengan sengaja atau pun tidak sengaja seperti dilakukan ketika membaca jampi, mentera atau serapah.

Mempelajari ilmu-ilmu yang melibatkan jin-jin, seperti amalan kebatinan mempertahankan diri, ilmu kebal, susuk, ilmu yang berkaitan dengan permainan teater tradisional atau berubat dengan bomoh, pawang dan tukang ubat yang pada hakikatnya berdampingan dengan jin-jin atau roh-roh sesat.

4. Gangguan jin terhadap pesakit terencat akal semenjak lahir

Anak-anak yang mengalami penyakit terencat akal selalunya diganggu oleh makhluk halus. Ini disebabkan daya pertahanan mereka lemah kerana tidak kesempurnaan akal pemikiran mereka.

Disini jin dan syaitan mudah mengambil kesempatan untuk menguasai tubuh badan mereka.

5. Penyakit fizikal yang disebabkan oleh gangguan jin

Terdapat beberapa jenis penyakit fizikal seperti stroke (sakit angin ahmar), sakit buah pinggang (nephronic syndrome) dan penyakit SLE, sakit kanser seperti busong yang berpunca dari gangguan sejenis jin.

Punca penyakit-penyakit ini adalah kerana gangguan makhluk halus yang memasuki tubuh badan pesakit dan menyerang anggota-anggota badan yang tertentu seperti otak, buah pinggang, urat saraf dan sebagainya.

6. Saka

Saka ialah gangguan jin yang datang dari asalnya dibela oleh keturunan keluarga pesakit. Saka bererti salah seorang daripada keturunan teratas pesakit seperti datuk, nenek, ibu atau bapa yang mempunyai atau mempelajari ilmu-ilmu yang melibatkan jin-jin atau bantuan-bantuan jin.

Jin-jin ini akan berpindah kepada keterunan yang berikutnya apabila waris yang asal meninggal dunia.

Ini berlaku apabila waris yang mati itu tidak sempat membuang ilmu yang diamalkan atau tidak membebaskan jin-jin yang mendampingnya sebelum waris itu meninggal dunia.

Tanda-tanda Gangguan Jin

Simptom gangguan jin dan sihir adalah banyak dan berbeza di antara pesakit-pesakit dan jenis-jenis gangguan.

Kebanyakan simptom adalah seperti berikut:

1. Sakit anggota badan

a. Sakit pada anggota badan tertentu seperti di tengkuk, kepala, bahu, pinggang, tulang belakang. tulang belikat, sendi-sendi, tangan, kaki, rahim, dada, perut, tapak kaki dan sebagainya.

Sakitnya seperti dicucuk jarum atau bisa atau pun lenguh, atau panas pijar seperti terkena lada. Kadang-kala kepala terasa dicengkam dan leher terasa dicekik.

b. Sakit menyeluruh daripada dua hujung kaki hingga ke kepala, kadang-kadang sakit itu berpindah atau berjalan dari setempat ke setempat, contohnya hari ini sakit di bahagian kaki dan esoknya sakit di bahagian bahu dan lengan.

c. Sakit di bahagian kepala, bisa dan pening. Ada pesakit merasa macam keadaan mabuk dan tak stabil. Berdiri dengan keadaan tidak stabil seolah-olah mabuk laut.

d. Perut kembung tanpa sebab dan diikuti dengan sesak nafas.

2. Gangguan emosi

Gangguan emosi iaitu rasa resah dan gelisah yang berpanjangan, tidak senang duduk atau berdiri, semua yang dilakukan tidak menjadi, rasa malas dan letih badan.

Dada rasa sebak, berdebar-debar, dan rasa sedih atau rasa marah saling berganti tanpa rasa sebab yang jelas.

Dalam istilah perubatan "mood swing". Hati rasa tak tenang dan kadang kala berdebar tanpa sebab.

3. Gangguan pemikiran

Fikiran bercelaru dan berserabut dan tidak fokus atau tidak dapat menumpukan perhatian.

Rasa hilang kawalan diri (lost self confidence) pada waktu-waktu tertentu seperti ketika mesyuarat, atau berada di hadapan orang ramai.

Kadang-kadang pesakit akan merasa mengantuk yang berpanjangan walaupun sudah cukup tidur semalaman.

Keadaan mengantuk ini akan menggangu pesakit terutama apabila pesakit hendak melakukan ibadah seperti solat, mangaji Al-Qur'an atau berzikir.

4. Perasaan cepat marah tanpa sebab yang jelas

Melihat orang lain dengan pandangan yang tidak menyenangkan, seolah-olah dunia ini dirasakan begitu sempit. Pesakit akan merasa semua orang memandangnya dengan pandangan buruk.

5. Pesakit rasa putus asa untuk hidup

Timbul rasa gelisah dan sedih berpanjangan. Tekanan jiwa yang berpanjangan mengakibatkan pesakit itu berada dalam "depression". Ada ketika timbul dorongan untuk membunuh diri.

6. Takut

Perasaan takut atau fobia (phobia) seperti tidak boleh berada di khalayak ramai, tidak boleh menaiki kenderaan seperti kapal terbang atau kereta, atau tidak boleh menaiki lif di banggunan tinggi, tidak boleh bersendirian di dalam rumah atau bilik, takut untuk bersemuka dengan sahabat atau sesiapa sahaja.

7. Gangguan tidur

Tidur tak lena, mimpi-mimpi yang menakutkan dan cemas, terjaga tidur ditengah malam.

8. Gangguan ketika beribadah

Iaitu ketika solat, membaca Al-Qur'an atau berzikir. Pesakit-pesakit kadang kala langsung tidak dapat mengingati doa-doa atau ayat Al-Qur'an yang dihafal.

Kadang-kala pesakit tidak boleh mendengar azan atau bacaan ayat-ayat Al-Qur'an dan apabila mendengar ayat-ayat Al-Qur'an, badan pesakit merasa menggeletar dan timbul perasaan rasa pilu dan sedih.

9. Suka bersendirian

Suka mengelamun dan mengurung diri dalam bilik, tidak peduli makan dan minum, pakaian dan kebersihan diri.

Pesakit selalu bercakap besendirian atau kelihatan bercakap dengan seseorang. Pada masa tertentu pesakit akan menjadi agresif dan berkelakuan ganas. Tabiat asalnya berubah.

Apabila ditanya sesuatu terutamanya berkenaan dirinya, ia kelihatan terperanjat, seolah-olah baru bangun dari tidur, atau pun baru sedar dari mengelamun.

Ketika ini pesakit mungkin kelihatan kembali normal, tetapi kembali kepada keadaan asal tidal lama selepas itu atau selepas ditinggalkan bersendirian.

10. Suara misteri

Terdengar suara memanggil nama atau memberi salam. Ternampak bayangan atau imbasan bentuk lembaga seketika sahaja.

11. Perkara ganjil

Berlaku kejadian-kejadian ganjil seperti bunyi suis lampu dinyalakan, paip air dibuka, bunyi tingkap atau pintu rumah dibuka atau ditutup, bunyi orang berlari atau berjalan didalam rumah siang hari atau waktu malam, bunyi orang naik tangga rumah dan sebagainya.

12. Bau

Terhidu bau yang tidak tahu dari mana punca seperti bau sampah, bangkai, darah, bau kemenyan atau bau wangi. Bau ini hanya dapat dihidu oleh pesakit atau orang-orang tertentu sahaja.

13. Pesakit dirasuk

Di sini jin atau syaitan, iblis akan menguasai pemikiran dan diri pesakit atau jin itu akan meresap kedalam diri pesakit.

Bila dirasuk, pesakit mengeluarkan suara yang lain daripada yang asal, dan berbicara dengan bahasa yang tidak diketahui oleh tuan punya badan.

Pesakit akan jadi agresif dan melawan sesiapa yang ada didepannya dan apabila sedar, pesakit tidak tahu apa yang telah berlaku keatas dirinya.

14. Reaksi luarbiasa

Reaksi atau tindak balas anggota badan pesakit apabila terkena gangguan jin atau sihir atau apabila dirasuk.

Di antara reaksinya ialah perjalanan darah menjadi lebih kencang atau menjadi tidak normal atau tekanan darah naik tanpa sebab, menggeletar kedua-dua belah tangan atau jari-jari, memejamkan mata bersangatan, menjerit atau menjadi marah, menangis, sayu, ketawa atau mengilai, mengadu sakit, menguap berulang kali, sendawa, atau mengeluarkan angin dari mulut seperti hendak muntah, terasa sesuatu yang berjalan didalam tubuh dan sakit bahagian perut atau rahim.

15. Gangguan nafsu

Gangguan jin dan sihir juga boleh melemahkan atau memerangsangkan gelora nafsu dan tenaga batin seseorang.

Ramai dikalangan suami isteri yang dikenakan sihir atas tujuan meruntuhkan rumah tangga mereka.

Kadang kala apabila gelora nafsu di rangsang oleh makhluk halus ini, menyebabkan seseorang itu terdorong melakukan kejahatan di luar ikhtiar diri, seperti berzina dan sebagainya.

16. Bayi kecil yang mengalami sawan tangis

Sakit sawan tangis ini berpunca dari gangguan makhluk halus yang menyebabkan sakit di bahagian perut bayi.

Kebiasaannya bayi akan mengalami kembung perut (colic pain) dan sakit yang teramat sangat.

Selepas dirawati dengan mengeluarkan makhluk halus dari badan bayi tersebut, perut kembung akan pulih seperti sediakala.

17. Penderitaan dan halangan

Selain dari penderitaan fizikal tubuh badan seperti yang telah dijelaskan, gangguan jin dan sihir boleh menyebabkan pelbagai masalah di luar jangkaan, seperti perkerjaan atau perniagan yang tidak menjadi.

Kedai makanan yang tidak dimasuki pelanggan, rasa benci atau tidak suka pergi ke tempat kerja, anak-anak yang rajin belajar tiba-tiba menjadi malas dan tak berminat untuk pergi bersekolah dan seterusnya berhenti bersekolah.

Semua usaha mencari rezeki terhalang. Ketika hendak berkerja, ada sahaja yang menghalang. Fikiran rasa sempit dan binggung dan tidak tahu menjalankan tugas.

Tidak disenangi oleh kawan-kawan di tempat kerja manakala pegawai atasannya sering mencari-cari kesalahan.

Sihir juga boleh menyebabkan hidup terpulau, dibenci oleh keluarga, ipar duai, mertua, adik beradik dan suami isteri.

Wallahu a'lam.

Sumber artikel: http://www.sentiasapanas.com/2017/11/6-punca-gangguan-jin-dan-tanda-tandanya.html#ixzz5q543andd 

Wednesday, June 5, 2019

RAWATAN BAGI MENGELAK DARI TERKENA HISTERIA



Amalkanlah :
1. Bacaan Al - Fatihah setiap kali selepas solat . (Diamalkan selalu sehingga akhir hayat amat digalakkan.)
2. Membaca "Bismillahillazi layadurru ma'asmihi syai'un fil ardi wala fissama' wahuwassami'un 'alim " 7 kali pagi dan petang.

Tuesday, June 4, 2019

7 Cara Menghalang Gangguan Jin

7 Cara Menghalang Gangguan Jin

Sebagai seorang manusia biasa, kehidupan seharian kita sememangnya akan mudah terdedah dengan perkara-perkara yang sering kita lakukan tanpa kita sedari yang boleh mengundang kepada gangguan “makhluk” yang tidak diingini.
7 Cara Menghalang Gangguan Jin
Tidak dinafikan, di dunia ini, terdapat manusia yang sengaja mencari atau memuja jin dan syaitan bagi kepentingan diri masing-masing seperti menyihir dan membuat khianat. Ini adalah perkara syirik.
Terdapat beberapa perkara yang kita perlu elakkan supaya tidak mudah diganggu makhluk ini. Kita juga perlu melakukan beberapa doa yang di amalkan oleh Rasulullah SAW untuk mengelakkan diri dan orang tersayang daripada mudah terkena gangguan jin.

Doa Pelindung

doa pelindung

Maksud ayat: “Dengan nama Allah, dengan nama-Nya, tidak ada sesuatu pun di bumi atau di langit yang boleh mendatangkan bahaya, Dia adalah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Amalkan membaca doa pelindung  ini tiga kali selepas solat Subuh dan Maghrib.
“Nabi Muhammad SAW telah bersabda bahawa barangsiapa yang membaca ayat di atas di waktu pagi da petang sebanyak 3 kali, tidak ada sesuatu pun yang dapat memedaratkannya.” (Sahih Sunan At-Tirmidzi)

Zikir La Ilaaha Illallah

Lailahaillah
Maksudnya: “Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan pujian, Yang menghidupkan dan mematikan, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
Amalkan membaca zikir ini sebanyak 100 kali selepas solat Subuh dan Maghrib ataupun dibaca sebanayk 10 kali (mengikut hadis yang lain).
Dengan mengamalkan amalan ini, ia akan mewujudkan pendinding yang tidak dapat dilihat di sekeliling kita sehinggakan jin yang ingin menganggu kita tidak dapat menembusi dinding ini. InshaAllah dengan izin Allah.
Di dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW telah bersabda bahawa barangsiapa yang berkata (berzikir) dengan kalimah di atas, seratus kali setiap hari, maka Allah akan memberikan ganjaran kepadanya seperti membebaskan 100 orang hamba. Dan akan dicatatkan baginya 100 kebaikan, serta dihapuskan 100 kesalahan dan dia akan terpelihara daripada gangguan syaitan pada hari itu sehingga tiba waktu petang. (HR Bukhari & Muslim)

Doa Sebelum Tidur

Ini adalah diantara doa-doa pelindung yang sahih yang dilakukan oleh Nabi Muhamad SAW.
doa sebelum tidur
Terjemahannya: “Aku berlindung dengan perkataan Allah yang sempurna, dari kejahatan yang telah Dia ciptakan.” (HR Muslim)
Doa ini juga boleh dibaca tiga kali selepas solat Subuh dan Maghrib. Mengikut sabda Rasulullah SAW, sesiapa yang duduk atau tidur disesuatu tempat dan membacakan doa ini, tidak akan ada sesuatu yang boleh membahayakannya, sama ada dari kalangan jin ataupun binatang berbisa.

Doa Untuk Melindungi Daripada Gangguan Syaitan Yang Menyebabkan Was-was Dalam Solat

doa-waswas
Maksud doa di atas adalah: “Aku berlindung kepada Allah syaitan yang terkutuk, dari kesombongannya dan sihirnya serta godaannya.” (Sahih Abu Dawud)
Cara amalan untuk doa ini adalah dengan membacanya sekali sebelum anda mula berdoa kepada Allah. InshaAllah, tidak ada jin yang boleh membahayakan anda selagi anda duduk dan berdiri di suatu tempat.

Ayat Kursi

ayat-kursi
Maksudnya: “Allah, tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di alagit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).
Amalkan membaca ayat kursi ini pada setiap malam sebelum tidur dan setiap pagi di rumah anda. Bacakan denan suara yang kuat dan niatkan untuk mendapat perlindungan daripada Allah.
Dengan membaca ayat kursii sebelum tidur, inshaAllah tidak ada syaitan yang akan mendekati anda sehingga ke pagi.  Allah juga akan mengirimkan malaikat untuk menjaga anda sehingga pagi. Setelah itu, bacakan sekali lagi ayat kursi ini pada waktu pagi.

Dua Ayat Terakhir Surah Al-Baqarah

2 ayat terakhir al-baqarah
Maksudnya: “Rasul telah beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semua beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya. (Mereka mengatakan), “Kami tidak membeda-bedakan seseorang pun dari rasul-rasul-Nya.” Dan mereka berkata, “Kami dengar dan kami taat.” Dan mereka berkata, “Ampunilah kami Ya Tuhan Kami, dan kepadaMulah tempat kembali.”
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (dari kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat siksa (dari kejahatan) yang diperbuatnya.(Mereka berdoa), “Ya Tuhan Kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan.  Ya Tuhan Kami, janganlah Engkau membebani Kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan Kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Ma’afkanlah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong Kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.” (Surah Al-Baqarah : 285-286)
ayat ini perlu dibaa dengan kuat pada setiap  malam sebelum anda ingin tidur dan setiap pagi di rumah anda dengan niat untuk mendapatkan perlindungan daripada Allah SWT.
Telah diriwayatkan bahawa Abu Mas’ud Al-Ansari berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir dari surah Al-Baqarah, maka itu sudah mencukupi baginya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Membaca Al-Muawwazatain

Surah Al-Falaq
Al-falaq
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. (1) Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan. (2) Dari bahaya gelap apabila ia masuk. (3) Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). (4) Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya. (5)
Surah An-Nas
An-nas
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Akuberlindung kepada (Allah) Pemelihaara sekalian manusia. (1) Yang Menguasai sekalian manusia. (2) Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. (3) Dari kejahatan pembisik penghasut yag timbul tenggelam. (4) Yang melemparkan bisikan dan hsutannya ke dalam hati manusia. (5) (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia. (6)
Amalkan membaca Al-Muawwizatain dan tiupkan ke tapak tangan anda. Seterusnya sapu keseluruh tubuh anda bermula dari atas hingga ke bawah. Ulangkan sebanyak tiga kali.
Telah diriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri, beliau telah berkata, “Setelah turunnya kedua surah ini (Al-Muawwuzatain), Rasulullah SAW melengkapkan kedua-keduanya sebagai bacaan wirid untuk membentengi diri dari pandagan buruk jin mahupun manusia.” (HR Tirmidzi)
Kaedah ini adalah baik untuk dijadikan sebagai amalan perlindungan. Ini kerana ianya bukan sahaja melindungi diri dari jin di luar, malah juga gangguan jin yang di dalam dengan izin Allah.
Amalan ini juga patut dilakukan oleh mereka yang sering mengalami mimpi yang buruk dan menakutkan. Amlakan doa ini juka sekiranya anda mengalami gangguan daripada jin asyik. InshaAllah, dengan cara yang telah disertakan di atas, kedua-dua surah ini akan memberikan perlindungan yang dapat menghalang jin daripada menembusinya.
Dari sebuah hadis, Aisyah RA mengatakan, “Rasulullah SAW keluar dari rumah pada malam hari, aku cemburu kerananya. Tidak lama ia kembali dan menyaksikan tingkahku, lalu ia berkata, “Apakah kamu telah didatangi syaitanmu?” “Apakah syaitan bersamaku?” Jawabku. “Ya, bahkan setiap manusia.” Kata Nabi Muhammad SAW. “Termasuk engkau juga?” Tanyaku lagi. “Betul, tetapi Allah menolongku hingga aku selamat dari godaannya.” Jawab Nabi Muhammad SAW” (HR Ahmad).
Demikianlah cara-cara dan amalan Rasulullah untuk melindungi diri daripada diganggu jin dan sihir. InshaAllah, anda akan dilindungi dengan izinNya. Segalanya terserah kepada Allah SWT. Selain daripada amalan kita, pantang larang juga perlu dijaga dan bertawakallah pada Allah SWT.
Sentiasalah berdoa selepas solat supaya kita sentiasa berada di dalam lindunganNya. Semoga dengan perkongsian ini dapat membantu anda yang sering mendapat gangguan jin dan syaitan.