Monday, May 20, 2019

Amalan Perubatan Yang Bercanggah Dengan Islam

Jampi yang diharamkan
Antara ciri jampi yang diharamkan adalah seperti berikut
  • Jampi yang mengandungi unsur syirik, pemujaan jin, syaitan, menggunakan ilmu hitam atau sihir.
  • Menggunakan bahasa yang tidak difahami atau bercampur aduk seperti memulakan jampi dengan “Bismillah atau Alhamdulillah” kemudian diselangi dengan nama-nama hantu atau jin seterusnya disudahi dengan ucapan “Berkat kata Lailahaillallah Muhammadar Rasullulah” atau seumpanya.
  • Menggunakan azimat atau tangkal sebagai pelindung
Firman Allah, Surah Yunus: ayat 106 yang bermaksud:
“Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)”.
Contoh amalan perubatan tradisional yang tidak mengikut syariat Islam:
  • Pengamal menggunakan pertolongan jin (termasuk jin Islam) dalam rawatan perubatan.
  • Pengamal menggunakan sihir, ilmu hitam, silap mata, tukang nujum atau ramalan tapak tangan.
  • Pengamal mengaitkan suatu pengeras dengan suatu akibat.
  • Pengamal melakukan perkara syirik seperti sembelih binatang, sembah pantai, buang ancak dan lain-lain.
  • Pengamal menggunakan bacaan jampi yang tidak difahami.
  • Penggunakan menggunakan tangkal dan azimat yang berupa rajah atau bercampuraduk dengan ayat Al-Quran.
  • Pengamal membaca ayat Al-Quran secara terbalik.
  • Pengamal memberikan syarat yang bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam. (contoh: pesakit wanita perlu bersendirian dengan pengamal)
  • Pengamal mengaitkan amalan perubatannya bersumberkan daripada Rasulullah dan Al-Quran tetapi tidak boleh membuktikannya.

No comments:

Post a Comment